Standard khas produk sarang burung walit (MS) - Sarang Kotor.

Standard khas produk sarang burung walit dengan peratusan nitrat selamat 


CYBERJAYA: Jabatan Standard Malaysia (Standards Malaysia) sedang membangunkan satu standard khas pengeluaran produk sarang burung walit yang mempunyai peratusan kandungan nitrat yang selamat untuk pengguna, serta kaedah ujiannya. Ketua Pengarahnya, Datuk Fadilah Baharin, berkata pembangunan standard itu diperlukan bagi memastikan produk sarang burung walit tempatan dapat menembusi pasaran utamanya iaitu China. "Kajian yang terperinci sedang dibuat oleh Standards Malaysia bersama-sama Kementerian Kesihatan, dan kami menjangkakan standard baharu ini dapat diperkenalkan menjelang akhir tahun hadapan," katanya. Menurut beliau, kandungan nitrat yang tinggi memberi risiko kepada penyakit seperti kanser.

Malaysia sebelum ini berhadapan kesukaran apabila China menyekat eksport produk sarang burung walit tempatan belum diproses yang dikatakan mempunyai kandungan nitrat yang terlalu tinggi. Bagaimanapun sekatan tersebut tidak membabitkan eksport sarang burung dalam bentuk siap untuk dimakan atau minuman dalam botol. Katanya, buat masa ini hanya 50 peratus pengusaha burung walit mampu menembusi pasaran China. "Menerusi pengenalan standard itu kelak, diharapkan kebolehpasaran sarang burung walit tempatan dapat dipertingkat sehingga 90 peratus," katanya. Dalam pada itu katanya, pembangunan standard untuk produk sarang burung walit telah dimulakan oleh Standards Malaysia sejak 2010 dan merupakan pengenalan standard pertama seumpamanya di dunia. "Kita juga akan memperkenal satu lagi standard baharu, iaitu MS 2612:2015 spesifikasi sarang burung belum diproses (EBN) - sarang dalam bangunan - yang akan dilancarkan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Ewon Ebin pada September depan. Katanya, pembangunan standard tersebut yang telah dimulakan sejak tiga tahun lepas dibuat bagi sarang burung walit belum diproses untuk pengesahan ketulenan, kualiti, penggredan, pembungkusan dan pelabelan. "Standard yang mencapai piawaian antarabangsa itu pastinya akan membantu produk sarang burung walit yang belum diproses dinilai dengan gred yang sistematik bagi memudahkan pemasarannya di peringkat antarabangsa. Katanya, selain China, industri sarang burung walit tempatan turut menyasarkan pasaran baharu dari Hong Kong, Jepun dan Milan, Itali memandangkan terdapat permintaan yang memberangsangkan dari negara-negara terbabit.


Hubungi Kami:011-14480600 Nordin atau e-mail kami nordi_jef@yahoo.com.

Comments