Produk hiliran walet - usahawan yang tak kenal erti kegagalan.

PRODUK HILIRAN DARI SARANG BURUNG WALET
Dulu dia seorang pegawai di sebuah syarikat industri burung walet tetapi kini Zambri Abu, 35, usahawan berjaya dalam perniagaan makanan dan minuman dengan mengeluarkan produk kesihatan Walit Roselle menggunakan jenama Olley dan minuman tenaga, Walit Strong.
Berdepan saingan hebat dunia perniagaan sehingga pernah menjadi mangsa penipuan membabitkan kerugian ribuan ringgit, tidak mematahkan semangatnya menubuhkan syarikat, Olley Food Industries (OFI).
Pengalaman lebih lima tahun dalam industri burung walet berpangkalan di Port Dickson, Negeri Sembilan, dimanfaatkan sepenuhnya untuk mengeluarkan produk terbabit di pasaran.
Zambri berkata, dia menceburi bidang keusahawanan pada 2011 dengan menjual produk makanan dan minuman syarikat lain tetapi menganggap ia tidak menguntungkan.
Dia nekad mengeluarkan produk sendiri bermula dengan produk Walit Strong, sejenis minuman tenaga yang mengandungi sarang burung walet, madu dan gula batu pada pertengahan tahun lalu.
“Saya memulakan perniagaan ini dengan tangan kosong pada 2011 kecuali sedikit pengalaman berkaitan produk dan khasiat burung walet ketika berkhidmat dengan syarikat burung walet di Port Dickson.
“Produk Walit Strong dihasilkan menerusi kerjasama sebuah kilang di Kuala Lumpur diikuti Walit Roselle pada awal tahun ini yang diproses di kilang milik Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di Johor Bahru, Johor.
“Alhamdulillah, kedua-dua produk itu mendapat sambutan orang ramai dan dipasarkan di Negeri Sembilan, Melaka, Kuala Lumpur dan Pahang,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemasaran OFI, di Balai Informasi Jabatan Pertanian Negeri Sembilan, Seberang Batu Hampar, Rembau, baru-baru ini.
Anak kelahiran Kedah ini yang kini menetap di Taman Bandar Senawang, Seremban berkata, OFI adalah syarikat Bumiputera pertama di negara ini yang mengeluarkan kedua-dua produk berkenaan yang diiktiraf MARDI.
Melalui kajian pegawai penyelidik MARDI terhadap kandungannya terbukti minuman itu sesuai untuk kesihatan, malah mendapat sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Beliau yang dibantu tiga pekerja berkata, Walit Strong dikeluarkan dalam botol bersaiz 150 mililiter (ml) manakala Walit Roselle dalam botol bersaiz 500ml.
“Setakat ini Walit Strong dipasarkan sebanyak 500 botol sehari manakala Walit Roselle 300 botol sehari dan saya sudah menetapkan sasaran untuk memasarkan 15,000 botol sehari menjelang akhir tahun ini,” katanya.
Bapa kepada empat anak itu berkata, selain MARDI, syarikat itu turut dibantu Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Jabatan Pertanian Negeri Sembilan (JPNS) dan Jabatan Veterinar Negeri Sembilan (JVNS).
“Saya memberi peluang kepada usahawan muda untuk bersama menjana pendapatan menerusi aktiviti perniagaan walaupun ia dilakukan secara sambilan,” katanya.

Doa dari pakdin moga sasaran 15000 botol tercapai. 
Hubungi Kami:011-14480600/ 012-4370347 Nordin atau e-mail kami nordi_jef@yahoo.com.

Comments