Masalah eksport sarang burung walit selesai: Noh Omar

 

BEIJING: Hubungan baik di antara China dengan Malaysia membawa kepada tercapainya penyelesaian terhadap masalah eksport sarang burung walit ke China, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar.

Bercakap kepada media Malaysia dalam lawatannya ke sini, beliau berkata pihaknya mengadakan perbincangan dengan Menteri Jabatan Pentadbiran Am Penyeliaan Kualiti, Pemeriksaan dan Kuarantin China (AQSIQ), Zhi Shuping, yang memberi kerjasama baik dan pandangan positif menyelesaikan masaalah tersebut. Noh menghargai kerjasama jabatan tersebut yang mencerminkan hubungan baik antara kedua-dua buah negara.
Beliau akan membawa isu tersebut ke Kabinet selepas masalah teknikal pengeksportan diselesaikan dan seterusnya Malaysia dan China dapat memeterai perjanjian eksport sarang burung walit.

Noh berkata, tidak ada perkara besar lagi dalam isu pengeksportan selepas Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Datuk Dr Abdul Aziz Jamaluddin, berbincang dan menyelesaikan masalah teknikal.

Katanya, beliau juga berbincang mengenai eksport nangka dan nanas dengan jabatan tersebut kerana pihak kementerian percaya potensi pasarannya amat besar di China.

"Malaysia belum mengeksport buah nangka dan nanas ke China kerana draf protokol pengeksportan buah-buah tersebut masih belum disiapkan," katanya.
Mengenai eksport durian beku, Noh berkata terdapat lima kilang proses durian sedang menunggu kelulusan daripada AQSIQ untuk mengeksport buah durian ke negeri China.

Beliau berkata, pengekportan durian ke China akan meningkat jika lima kilang tersebut mendapat kelulusan yang dikehendaki.

"Buat masa sekarang terdapat dua kilang proses durian yang mendapat kelulusan mengeksport durian ke negeri China," katanya. - BERNAMA

Hubungi Kami: 017-4306422 Nordin atau e-mail kami nordi_jef@yahoo.com.

Comments