Pulak Dah...


Tindakan guna nama Kementerian Pertanian serius 


2011/08/16

PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memandang serius tindakan pihak tertentu yang menggunakan nama kementerian berkenaan untuk memasarkan produk sarang burung walit di luar negara. 

Menterinya, Datuk Seri Noh Omar, berkata setakat ini, pihaknya tidak pernah memberikan sebarang kebenaran kepada mana-mana individu atau syarikat untuk menyampaikan apa-apa penerangan atau bercakap mengenai produk sarang burung walit negara yang diiktiraf terbaik di dunia.
"Mereka yang terbabit dalam industri ini (sarang burung walit), mereka faham masalah yang sedang kita hadapi, sebab itu mungkin ada di antara mereka cuba memberi penerangan secara sukarela kepada pihak tertentu di China.
"Tetapi kita tidak suruh kerana kementerian sendiri ada perancangan disebabkan banyak berlaku sarang burung walit itu dijual secara diam-diam," katanya selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bidang latihan pertanian di Wisma Tani di sini, hari ini. 

Noh diminta mengulas mengenai laporan berita agensi asing bahawa terdapat pihak tertentu yang menggunakan nama kementerian berkenaan untuk memasarkan produk sarang burung walit dari Malaysia di China. 

Mengulas lanjut, Noh berkata, beliau sendiri akan mengadakan lawatan ke Shanghai, China dalam tempoh terdekat bagi membincangkan dengan kerajaan negara itu tentang produk sarang burung walit itu. 

Selain bagi memastikan hanya produk sarang burung walit yang benar-benar diiktiraf sahaja dieksport ke negara berkenaan, Noh berkata beliau sendiri memberikan penekanan terhadap perkara itu kerana Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) beliau menurun disebabkan beberapa masalah berhubung produk terbabit. 
Mengikut prosedur, beliau berkata, sarang burung walit yang hendak dijual atau dieksport perlulah datang dari kilang yang mempunyai sijil VHM (Veterinary Health Mark). 

"Tetapi apa yang berlaku sekarang, ada di antara sarang burung walit ini dijual terus ke Hong Kong atau China tanpa mempunyai sijil VHM. Jadi, saya akan minta China supaya jangan membeli produk ini jika tiada sijil tersebut," katanya. 

Noh berkata, beliau juga akan meminta Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan wakil kedutaan Malaysia di Shanghai untuk mendapatkan laporan berhubung perkara terbabit. 

Sarang burung walit mendapat permintaan yang tinggi di China di mana sup sarang burung itu dilihat menjadi pengukur kepada status seseorang individu. 

Mengenai MoU itu antara Majlis Latihan Pertanian Kebangsaan (NATC) dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) serta MoU antara NATC dengan Institut Skill-Tech (IST). 

MoU antara NATC, FAMA dan LPP adalah persefahaman bagi menggunakan Institut Pengurusan Peladang (IPP) di Sungai Petani, Kedah sebagai sekolah pemasaran secara strategi lautan biru, di mana kerajaan dapat menjimatkan kos pembinaan Sekolah Pemasaran. 

Konsep persefahaman itu membolehkan NATC membiaya kos latihan kemahiran pertanian, FAMA akan memberi sumbangan daripada segi tenaga pakar dan tenaga pengajar untuk latihan manakala IPP melalui LPP akan membenarkan bangunannya digunakan sebagai sekolah pemasaran. 
MoU antara NATC dengan IST pula bertujuan untuk mengadakan program latihan bagi meningkatkan tenaga kerja mahir dan usahawan terlatih; menerima kemasukan graduan lepasan IST ke Kolej Pertanian Malaysia bagi melanjutkan pelajaran serta membangunakan modul latihan berasaskan keterampilan. - BERNAMA

Hubungi Kami: 0134861990 Nordin atau e-mail kami nordi_jef@yahoo.com. Matlamat kami ialah membantu anda..KEJAYAAN ANDA KEJAYAAN KAMI JUA..

Comments