Anak Melayu cipta alat pintar kawal suhu

MOHD. Bahar (kiri) bersama Omar Jaafar memegang Sutera Atomizer, alat pintar mengawal suhu di MAHA 2010, semalam.

SERDANG 29 Nov. - Sebuah syarikat tempatan, Sutera Teknik Sdn. Bhd. berjaya mencipta alat pendingin pintar, yang pertama seumpamanya di dunia untuk membolehkan aktiviti pertanian dijalankan empat kali setahun dan ternakan sepanjang tahun dilakukan.

Pengarahnya, Mejar (B) Mohd. Bahar Abd. Hamid berkata, alat yang dinamakan Sutera Atomizer itu berfungsi mengawal tahap suhu dan kelembapan secara automatik yang menggunakan renjisan air tetapi tidak memberi kesan basah.

''Alat ini merupakan ciptaan pertama seumpamanya di dunia yang membolehkan pelbagai tanaman beriklim sejuk ditanam di kawasan beriklim panas.

''Beberapa wakil perniagaan dari Korea Selatan dan Asia Barat telah mengesahkan kedatangan mereka untuk menilai dari dekat produk ini semasa berlangsungnya Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA 2010)," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.

Bahar berkata, hasil kajian selama lapan tahun melibatkan bidang pertanian dan penternakan dengan tahap penghasilan telah dapat dilipat ganda contohnya seperti tomato, cendawan, rock melon dan bunga-bungaan seperti orkid dan ros.

Katanya, kajian bersama dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di Rumah Tanaman kekal turut menunjukkan hasil yang positif.

''Kajian berterusan oleh syarikat kami dalam membangunkan alat ini telah terbukti berjaya menambahkan hasil tanaman berbanding tidak menggunakannya.

''Alat tersebut juga dapat mengurangkan tenaga elektrik yang mampu mengurangkan kos kepada penternak ayam dan burung walet berbanding menggunakan penghawa dingin konvensional," katanya.

Tambahnya, dengan adanya teknologi tersebut, ia boleh membantu petani tempatan untuk meneroka tanaman baru yang lazimnya ditanam di negara-negara Eropah.


Hubungi Kami: 0134861990 Nordin atau e-mail kami nordi_jef@yahoo.com. Matlamat kami ialah membantu anda..KEJAYAAN ANDA KEJAYAAN KAMI JUA..

Comments