Berita Utusan Malaysia

ARKIB : 06/07/2010

Perompak larikan sarang burung layang-layang RM100,000

PARIT BUNTAR 5 Julai - Hasrat seorang pemilik sarang burung layang-layang untuk menjual sarang burung itu tidak kesampaian setelah lima perompak melarikan sarang burung bernilai RM100,000 di premisnya di Pusat Bandar Parit Buntar dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian pukul 10.30 pagi, perompak bersenjatakan dua pucuk pistol dan sebilah parang memasuki premis itu lalu melarikan sarang burung seberat 20 kilogram yang disimpan di dalam sebuah peti sejuk.

Menurut pemilik yang hanya mahu dikenali sebagai Koh, berusia lingkungan 30-an, ketika kejadian, seorang pekerja berada di premisnya yang baru dibuka pada pukul 10 pagi.

Katanya, perompak dipercayai masuk melalui sebuah kedai elektrik di tingkat bawah sebelum menaiki tingkat atas rumah kedai itu.

"Perompak menahan pekerjanya dan menggeledah sebuah peti sejuk yang menjadi tempat menyimpan sarang burung tersebut," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Beliau berkata, sarang burung layang-layang itu baru diambil beberapa hari lalu dan disimpan di situ sebelum dipasarkan.

Katanya, perompak berkenaan mengambil masa 20 minit sebelum melarikan diri dengan sebuah kereta.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Supritendan Mat Fauzi Nayan ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan polis masih menyiasat.

Hubungi Kami: 0134861990 Nordin atau e-mail kami nordi_jef@yahoo.com. Matlamat kami ialah membantu anda..KEJAYAAN ANDA KEJAYAAN KAMI JUA..

Comments