UPM bantu pengusaha
Hubungi Kami: 012-4370347 Nordin atau e-mail kami nordi_jef@yahoo.com.
Industri pengeluaran sarang burung
walet berdepan cabaran apabila hampir 70 peratus rumah burung diusahakan
penternak kurang produktif.
Kegagalan penternak memahami spesies
burung berkenaan, ditambah dengan pengurusan rumah tidak sistematik
dikenal pasti menjadi punca haiwan itu tidak memasuki rumah yang
disediakan.
Sehubungan itu, Pusat Transformasi Komuniti
Universiti (UCTC), Universiti Putra Malaysia (UPM) yang ditubuhkan pada
14 Mac lalu bersedia membantu menyelesaikan masalah dihadapi golongan
terbabit.
Timbalan Pengarah Bahagian Pembangunan dan Jaringan
Keusahawanan UCTC, Prof Madya Dr Azhar Kasim berkata, pemilihan UPM
berikutan kepakarannya dalam industri berasaskan pertanian khususnya
walet.
“Kami mendapat pengiktirafan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sebagai Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Walet.
“UPM
diketahui sebagai pakar dalam sektor ternakan, tanaman dan akuakultur.
Justeru, industri yang dikenal pasti mempunyai impak berkaitan bidang
profesionalisme adalah burung walet.
“Dianggarkan kira-kira
50,000 rumah burung walet diusahakan di Malaysia dengan kebanyakannya
kurang burung, kurang produktif dan tidak ada burung,” katanya.
Berdasarkan
masalah itu, potensi penjanaan pendapatan masih ada, namun ia tidak
menjelma. Justeru, UPM berganding bahu dengan beberapa rakan pintar
dalam kerja pemulihan dan meningkatkan prestasi rumah burung.
“Gandingan
UPM dengan rakan pintar bukan saja dapat meningkatkan keyakinan
pengusaha rumah walet, tapi mewujudkan kerjasama erat antara pengusaha
dengan saintis dalam aspek penyelidikan.
“Sebahagian daripada
gerak kerja pemulihan dan penambahbaikan rumah burung walet sudah diolah
supaya kutipan data saintifik dapat dipermudahkan bagi tujuan
penyelidikan saintifik,” katanya.
Penemuan baru hasil daripada
kajian saintifik ini dijangka dapat dikongsi bersama dengan rakan
industri supaya industri dapat dilonjakkan ke tahap lebih tinggi.
“Kerja penambahbaikan membabitkan gandingan UPM-rakan pintar sudah menampakkan kejayaan yang dapat dibanggakan.
“Antara daerah terbabit dengan usaha sama ini adalah Sungai Petani, Kedah; Dengkil dan Hulu Langat di Selangor,” katanya.
Dr Azhar berkata, sekiranya rumah bermasalah dapat dipulihkan, pengusaha rumah burung berpotensi memperoleh pulangan lumayan.
“Ada
1,001 punca dikaitkan dengan rumah burung walet yang kurang atau tidak
produktif. Antara langkah permulaan dalam gerak kerja diamalkan UCTC
bersama rakan pintar, melaksanakan siasatan menyeluruh.
“Punca
masalah akan dikenal pasti dan pengusaha akan menerima laporan
terperinci dengan anggaran kos bagi kerja pemulihan yang munasabah,”
katanya.
Situasi paling mencabar dalam melaksanakan aktiviti
pemulihan rumah walet apabila rumah burung dibina tidak selari dengan
konsep mendirikan rumah walet.
“Contohnya, rumah walet dibina
pada lokasi yang jarang dilihat burung. Proses untuk meningkatkan
jumlah sarang selepas pemulihan dibuat pada amnya mengambil masa lama,”
katanya.
Individu yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut
berkaitan penyelesaian kepada masalah berkenaan boleh menyertai kursus
Kaedah Menambahkan Penghasilan
Sarang Burung Walet anjuran UCTC yang bakal berlangsung pada 29 dan 30 Mei ini.
Penceramah terdiri dalam kalangan rakan pintar dan saintis UPM. Yuran penyertaan dikenakan berpatutan.
Maklumat lanjut berkaitan kursus itu boleh diperoleh melalui urusetia dengan menghubungi talian 03-89471807/1814/1816/1819.
Hubungi Kami: 012-4370347 Nordin atau e-mail kami nordi_jef@yahoo.com.
Comments