Petikan Utusan Malaysia
KUANTAN 5 Nov. - Sebanyak 27 premis dikenakan tindakan oleh Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) kerana didapati mengusahakan sarang burung walit tanpa lesen di sekitar Gambang di sini semalam.
Operasi bersepadu yang melibatkan 32 anggota penguat kuasa itu turut disertai Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pahang dan Jabatan Kesihatan Pahang dengan pemeriksaan di ke semua premis terlibat.
Dalam pemeriksaan itu, lima premis dikenakan kompaun kerana tiada lesen perniagaan manakala sebuah premis pula dikompaun oleh Jabatan Kesihatan Pahang kerana ia didapati menjadi tempat pembiakan jentik-jentik.
Ketua Bahagian Perhubungan Awam dan Kemasyarakatan MPK, Haslinda Hassan berkata, bantahan yang dibuat penduduk baru-baru ini adalah secara kebetulan namun pihaknya sudah mengambil perhatian terhadap perkara itu.
"Operasi membabitkan kawasan perumahan akan dilaksanakan dalam masa terdekat kerana mendapat banyak aduan mengenai bunyi bising dan pembiakan nyamuk Aedes di kawasan terbabit selain berdekatan dengan sekolah.
"Dalam operasi kali ini, pemeriksaan ke atas premis perusahaan sarang burung walit dibuat bagi melihat tahap kebersihan sama ada mematuhi peraturan dan mempunyai lesen atau tidak," katanya di sini semalam.
Menurut Haslinda, tiga tempat diberi tumpuan dalam pemeriksaan itu iaitu tandas, peralatan pengewapan dan bahan buangan yang mungkin boleh menyebabkan pencemaran dan pembiakan Aedes di kawasan terbabit.
Haslinda berkata, MPK telah membekukan pemberian lesen mengusahakan sarang burung walit sejak 2007 kerana didapati terlalu banyak perusahaan tersebut dijalankan sehingga sesetengah pihak tidak mematuhi peraturan seperti membinanya di kawasan perumahan dan berdekatan dengan sekolah.
"Syarat yang dikenakan untuk membina sarang burung di kawasan perumahan adalah 50 meter namun dalam operasi hari ini ramai pengusaha tidak menepati syarat tersebut," katanya.
Haslinda menambah, dalam operasi tersebut, Jabatan Perkhidmatan Veterinar mengambil sampel najis pada dinding dan air liur burung walit untuk dikaji sama ada mempunyai virus Avian Influenza (AI) atau selesema burung dan Salmonela.
Dalam pada itu, Pembantu Veterinar, Abdul Rahman Hassan berkata, sampel itu akan dikaji sebelum membuat keputusan sama ada ia mengandungi virus tersebut atau tidak.
Comments